Tuesday 31 May 2011

Arash.

Telatah anak kecil itu membuatkan diri ini bagai berada di awangan. Dia memberikan sejuta rasa yang tidak mungkin dapat dialami jika tidak pernah merasai keseronokan memegang permata itu. Tubuh itu aku dakapi. Sempurna. Aku teliti setiap inci kejadian Tuhan. Aku amati. Wajah itu tersenyum bagai dia tahu akan perlakuan aku.

Tuhan itu adil. Setiap kejadian yang Dia perlihatkan aku amati. Aku lemah. Adakah aku layak digelar hamba-Nya yang sempurna sifatnya? Yang sempurna perilakunya?

Pipi tembam itu berisi dengan gelak tawa anak kecil itu. Didukung dan dibelai dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Dia ditatang bagai minyak yang penuh dan tidak mungkin dibiarkan tertumpah oleh iblis yang datang menerjah! Anak kecil itu membesar dalam era teknologi dan pembangunan negara. Semakin maju kehidupan anak-anak sekarang. Getus hati kecil aku. Ranjau dan duri dalam setiap detik yang berlalu deras dalam darah pemilik tubuh makhluk Tuhan yang masih mentah tentang realiti dunia ini. Langkah dan jejak yang ditinggalkan pasti diperhati setiap mata dengan pandangan yang berbeza.

Iringan doa dan harapan ibunya menjadi makanan harian bagi dia. Moga dia menjadi seorang manusia dan hamba yang penuh iman dari mata-Nya.


Tercetus setelah melihat babak dalam Happy Tree Friends.


Saturday 21 May 2011

Angin Tanjung Ketapang.

Dia menghela nafas panjang. Berharap terjadinya perkara yang baik dalam setiap langkahnya. Dia baring di tilam empuk sambil ditemani bantal usang itu. Letih. Perasaan yang seringkali dilontarkan dari mulut itu. Perasaan yang diharap bakal menyinari setiap liku yang perlu ditempuhi. Adakah ia hanya permainan jiwa? Adakah ia realiti yang bukan lagi fantasi dalam mimpi-mimpi yang kerap muncul dalam mainan tidurnya? Alunan itu sering berputar ligat dalam mindanya. Berputar dan terus berputar dan tidak diketahui penamatnya.

Drama pementasan dunia itu semakin jelas. Perbuatan yang dilakukan bagai tiada erti bagi insan itu. Insan yang menjadi harapan indah dan tempat dia pada masa tuanya. Harapan yang digenggam erat dan tidak mungkin akan musnah angkara si lidah cabang itu. Tidak mungkin!

Angin, kau bawalah ia berlalu bersama mimpi yang setia menemaniku...


Ilham daripada ;

Sampai Syurga oleh Faizal Tahir

Biarkan Memori Itu Menghantuiku.

Kaki itu melangkah lemah dalam gerimis air hujan. Sekuat hati aku cuba untuk melangkah agar sampai ke tempat untuk merebahkan tubuhku yang semakin lemah ini. Mengalir dan menjerit sekuat jeritan batinnya kerana seorang yang bernama lelaki. Saat ini pelbagai persoalan yang bermain dalam lubuk fikirannya. Mungkin pengakhirannya cukup membahagiakan diri aku. Ini pahit manis dalam alam percintaan. “Ya, inilah cinta”, ngomel mulut itu. Dongeng. Semua itu dongeng! Semakin kuat bunyi itu kedengaran, semakin kuat derita yang dialaminya. Hati aku berbisik kecil supaya melupakan peristiwa itu, padamkan segala memori itu, hapuskan segalanya!

Bagai anak kecil yang inginkan belaian seorang ibu yang amat dikasihi, begitu jua keadaan yang berlaku sekarang pada aku yang merindukan pelukan dan bebelan seorang ibu. Lalu, suara itu merintih, “Emak, lelaki itu bakal menjadi suami yang taat pada agamakah? Lelaki itu suami yang penyayang kepada anak-anaknya ke? Lelaki itu peneman setia dunia dan akhirat, mati dan hidup saya, bukan?” Menangis dan terus menangis. Hanya itu yang mampu dilakukan oleh perempuan yang lemah itu.

Anyys Syahira mempunyai gaya yang mempesonakan dan bisa mencairkan hati mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya. Tubuh badannya yang ramping dan mempunyai perwatakan yang ceria melengkapkan pakej yang sedia ada. Beliau yang mempunyai kulit sawo matang dan ketinggian sederhana pasti dapat memikat lelaki idamannya. Jika dibandingkan dengan perwatakan aku, bagai langit dengan bumi. Kerap kali aku menyalahkan Tuhan dengan keadaan fizikal aku ini. “Ya Allah, maafkan atas kekurangan diri hamba-Mu ini. Aku bersyukur kerana aku dilahirkan cukup sempurna di sisi-Mu”, lalu air mata suci itu mengalir deras dan penuh keinsafan.

Hari yang berlalu tanpa wajah kekasih yang selalu dirindu membuatkan aku semakin tabah mengharungi liku hidup ini. Biarlah lelaki buaya itu terus bahagia dengan pilihan nafsunya. Kehidupan mesti diteruskan dan kaki harus melangkah untuk mencapai impian yang belum pasti.


Ilham tercetus daripada ;

Menyesal oleh Ressa Herlambang.

Sunday 15 May 2011

Itu Aku.

Irama itu sentiasa kedengaran sayup di telinganya. Ia bagai satu rutin harian untuk berbisik dan mengingatkan dia tentang sesuatu perkara. Suka-duka yang ditempuhi berabad lamanya tetap segar bermain di ruang legar dan setiap lorong yang dilaluinya. Mereka bergelak ketawa bagai tiada orang yang memerhati dan bergembira bagai dunia ini hanya milik mereka. Memori 10 tahun yang lalu menerjah akal fikirannya. Oh, ia benar-benar menusuk dalam jiwanya!

Gerak langkah dan anak mata yang memerhatikannya bagai suatu kebiasaan bagi pendatang baru seperti aku. Aku berasa janggal dengan suasana baru ini. Pelbagai persoalan timbul seakan-akan menakutkan aku dengan apa yang bakal aku tempuhi pada hari yang mendatang. “Oh, Tuhan! Tolonglah hamba-Mu dengan cabaran yang tidak aku ketahui,” bisik hati kecilnya seolah-olah tidak ada kekuatan dalam dirinya. Hari yang dilalui sendirian kini dihias dengan rakan yang dianggap sahabat dalam hidupnya. Dia mencipta kenangan dengan pelbagai cara yang dianggap gila oleh kedua-duanya. Gelak tawa bagai tiada penghujung jika bercerita tentang peristiwa silam mereka. Kekhilafan yang terjadi tanpa disedari banyak mengajar mereka tentang erti sebenar sebuah kehidupan. Sedih. Itulah perasaan yang sedang dialami oleh dia. Adakah sebuah persahabatan akan terhenti disebabkan fikiran yang cetek dan salah faham yang tiada penghujungnya?

Tanpa disedari, air mata jernih itu menitis di pipi gebu milik seorang perempuan. “Nisa, awak okay?”, tanya mulut kecil itu. Dia hanya melemparkan senyuman dan berharap peristiwa itu tidak berulang kembali. Kini, dia bahagia dengan apa yang telah dimiliki.


Ilham dari lagu;

Doa Perpisahan oleh Brothers.