Thursday 23 June 2011

Semanis Sanubarimu.

Potongan itu dihidangkan di atas meja. Cantik. Hiasannya ringkas tetapi ternyata memikat hati. Sayu. Ada sedikit suram di wajah aku. Mungkin aku sedih di atas pengakhiran ini? Mungkin jua ada sezarah kegembiraan pada riak wajah aku?

Aku biarkan sahaja perasaan itu membelengguku. Aku memandang wajah orang tua itu. Damai yang aku rasakan. Entah bilakan lagi aku dapat bersua muka dengannya. Entahkan wajah itu mengingati aku sebagai salah seorang anak didiknya.

Coklat hitam memenuhi ruang atas kek itu. Terdapat hiasan bunga di tepinya. Warna-warna lembut menghiasi kek coklat itu. Sedap!

Aku tidak betah dengan apa yang ingin dilakukan. Alunan muzik penyanyi Singapura itu berkumandang. Lantas, aku menghayati setiap baris liriknya. Jiwaku dicengkam dengan rasa yang aku sendiri tidak pasti.

Air mata itu bergenang! Cepat-cepat aku membunuh rasa itu. Oh, Tuhan! Kau lindungilah dia dari ancaman bahaya dan Kau sejahterakanlah tubuh badannya! Lalu hati kecil aku merintih.


Diilhamkan daripada ;
Selamat Ulang Tahun Sayang by Imran Ajmain.

Wednesday 22 June 2011

Rasa Ini.

Aku bertungkus-lumus menyiapkan tugasan yang diberikan Dr. Mawar. Alhamdulillah, aku berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan sebelum dateline.

Aku masih belum puas menulis karya yang masih memerlukan bimbingan orang yang lebih berpengalaman. Mulanya aku tidak menyukai dan kurang berminat dengan subjek ini. Tapi aku dikerah untuk memenuhi tuntutan universiti.

Menulis dan terus menulis. Berkarya dan terus mengilham. Lama-kelamaan, minat menulis aku bercambah hari ke hari.

Aku terus mencari untuk menghasilkan sesuatu yang berlainan.

Dan, aku akan terus berkarya!


Terima kasih tidak terhingga pada Dr. Mawar.




Sunday 19 June 2011

"Benakku Merintih"

Dia menghela nafas panjang. Kesesakan yang berlaku hampir mematahkan semangatnya untuk pulang ke kampung. Dia sempat mengerling pandangannya ke arah pemandu yang lain. Kusut. Hampir empat jam dia di jalan raya membuatkan dia memikirkan alternatif lain untuk singgah ke kampung halamannya. “Merepek saja aku ini. Kosnya terlalu tinggi untuk perjalanan sesingkat itu. Takpelah, berkorban sikit,” bisik hati kecil ini.

Tubuh kecil itu dihempas perlahan ke atas tilam usang itu. “Aduh! Nipisnya tilam ini! Sarung cadarnya juga tak ada. Selimut ini pun bolehlah,” hati itu mendengus kemarahan.

Pagi itu dia bangun dengan pertanyaan yang bertalu-talu. “Siapa makcik ini? Yang ini siapa pula? Mama! Mama!”.


Dikarang setelah mendengar alunan lagu-lagu raja sehari.

Gadis Kota.

Anak gadis itu menghilai bagai dirasuk makhluk halus. Angin petang diusik dengan jari halusnya bagai dijemput menari bersama sambil ditemani awan biru yang terbentang luas. “Oh, indahnya!”. Permaidani hijau itu dipijak lembut. Kadang-kala kaki gebunya dibiarkan menghentak permukaan merah yang keras itu.

Cerita yang berlaku selama dua tahun di tempat pengajiannya bagai kenangan indah yang sukar dirungkai satu-persatu oleh isi hatinya. Ia disulami dengan rintik hujan yang datang menjergah kehidupannya sekali-sekala. Kelat.

Disedut dalam-dalam sang bayu yang berhembus lembut di pipinya. Gelak ketawa itu diselangi deruman motor usang. “Tanpa Si Comot ini, pasti susah hidup aku di negeri orang.”

Anak matanya seperti bertukar menjadi warna hijau apabila pemandangan berubah menjadi persekitaran yang sangat mempersonakan. Burung berterbangan ditemani suara halus pokok getah menyambut kedatangan anak gadis tersebut. Asyik. Tidak pernah anak gadis itu merasai suasana sebegitu.

Anak gadis itu melihat raut wajah teman-temannya. Lalu dia tersenyum kecil.


Takluk!

Peluh membasahi dahi aku. Kelibat manusia yang sangat ramai tidak lagi kelihatan melalui deria ini. Bingkas aku bangun dari mimpi ngeri itu seolah-olah tiada jalan kesudahan aku lihat dari liku yang aku tempuhi tadi. “Ya Allah, apakah maksud melalui mimpi ini? Kenapa ia menyelubungi akal fikiran aku? Aku tidak mengerti semua ini, ya Tuhanku.”

Compang-camping pakaian yang membaluti tubuh badan mereka. Peluh yang menitis dan darah yang mengalir tidak pernah dijadikan alasan untuk mati dengan sia-sia. Kebangkitan kumpulan itu mematikan impian penduduk untuk hidup dalam keadaan damai. Merata tempat kawasan itu dipenuhi haiwan yang dipandang hina di sisi masyarakat. Malah, haiwan itulah yang banyak berjasa dalam pekerjaan yang dilakukan. Jijik! Ia membunuh manusia yang kelihatan bersendirian pada waktu malam.

Penindasan yang dilakukan pada golongan hamba semakin sampai kemuncaknya. Hari demi hari mereka dilayan tanpa rasa perikemanusiaan. Mereka dikurung. Mereka diherdik dengan kata-kata kesat oleh ketua suku kaum itu. Mereka bukan lemah. Mereka bukan hina. Mereka cuma tiada kuasa. Tapi, keajaiban tidak mustahil akan terjadi. Mereka sepakat! Mereka bersatu menentang suku kaum itu. Akhirnya, mereka berjaya dalam medan tempur mereka.

“Aku bebas dari cengkaman kuasa jahat itu. Akan aku bersihkan kawasan ini dari najis kotor yang bertaburan di muka bumi ini!”

Dan aku masih memikirkan apa erti disebalik semua ini.

Tuesday 14 June 2011

Secebis Kenangan Lalu.

“Gardens are such friendly places,” smiled Piglet as a rosy scent tickled his nose. The flower buds had burst open revealing their cheering faces. And tiny friends fluttered by to say hello with a wave of their wings. “But there’s one thing that’s even friendlier,” said Pooh.

“Sharing them with a friend”.


Bingkisan kata-kata ini terlihat di botol air berwarna hijau itu. Lantas kenangan itu mengusik hati dan perasaanku. Aku tersenyum. Biarpun orang melihat, aku tidak tahu bagaimana hendak menyembunyikan perasaan aku ini. Secalit gangguan menerjah dalam akal fikiran. “Ah, bukannya mendatangkan hasil jika aku fikir tentangnya!”, lalu aku menatap keempat-empat wajah ayu itu. Tenang.




Tuesday 31 May 2011

Arash.

Telatah anak kecil itu membuatkan diri ini bagai berada di awangan. Dia memberikan sejuta rasa yang tidak mungkin dapat dialami jika tidak pernah merasai keseronokan memegang permata itu. Tubuh itu aku dakapi. Sempurna. Aku teliti setiap inci kejadian Tuhan. Aku amati. Wajah itu tersenyum bagai dia tahu akan perlakuan aku.

Tuhan itu adil. Setiap kejadian yang Dia perlihatkan aku amati. Aku lemah. Adakah aku layak digelar hamba-Nya yang sempurna sifatnya? Yang sempurna perilakunya?

Pipi tembam itu berisi dengan gelak tawa anak kecil itu. Didukung dan dibelai dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Dia ditatang bagai minyak yang penuh dan tidak mungkin dibiarkan tertumpah oleh iblis yang datang menerjah! Anak kecil itu membesar dalam era teknologi dan pembangunan negara. Semakin maju kehidupan anak-anak sekarang. Getus hati kecil aku. Ranjau dan duri dalam setiap detik yang berlalu deras dalam darah pemilik tubuh makhluk Tuhan yang masih mentah tentang realiti dunia ini. Langkah dan jejak yang ditinggalkan pasti diperhati setiap mata dengan pandangan yang berbeza.

Iringan doa dan harapan ibunya menjadi makanan harian bagi dia. Moga dia menjadi seorang manusia dan hamba yang penuh iman dari mata-Nya.


Tercetus setelah melihat babak dalam Happy Tree Friends.